"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama" Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi

Thursday, October 21, 2010

Masa


Besar Ganjaran Jika Bijak Urus Masa

MASA tidak akan menunggu kita walaupun sesaat. Manusia sentiasa berhubung dengan masa dalam ‘pengembaraan’ mereka di muka bumi ini yang bermula daripada kelahiran sehingga dijemput pulang mengadap Ilahi.

Ia ibarat pedang, sekiranya tidak mencantas, masa pasti memintas kita. Masa ibarat senjata tajam yang amat bermanfaat dan menguntungkan manusia sekiranya digunakan dengan baik.

Sebaliknya, jika tidak betul cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri. Mereka yang tidak tahu memanfaatkan masa akan jauh ketinggalan sama ada dalam agama, pemikiran, teknologi atau politik.

Bukan saja tertinggal jauh di belakang, malah bagi yang tidak memanfaatkan masa dengan baik, mereka berdepan keburukan akibat kesilapan mengurus masa.

Justeru, seharusnya masa digunakan untuk beramal dan mendekatkan diri kepada Allah untuk mencapai matlamat hidup sebagai Muslim yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah Masa (al-Asr).

Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.

Rasulullah sudah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu:

Masa muda sebelum tua.

Masa sihat sebelum sakit.

Masa kaya sebelum miskin.

Masa lapang sebelum sibuk.

Masa hidup sebelum mati.

Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.

Ini kerana apa yang terjadi pada hari tua akan ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda. Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua, keremajaan hanyalah kenangan.

Masa tua adalah segala-galanya, sudah tiada kekuatan untuk bekerja, selera makan menurun dan menghidap pelbagai jenis penyakit.

Apabila sudah mencapai usia emas, pasti berbahagia dan gemilang bagi mereka yang mengurus masa dengan baik ketika mudanya.

Bagi yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga emas yang malang. Tidak selesai di dunia, malah di akhirat kelak mereka akan dipersoalkan apa yang dilakukan ketika zaman remajanya.

Selain itu, nikmat kesihatan juga perlu dihargai. Tubuh badan kita adalah milik Allah, maka wajib kita menjaga amanah ini dengan sebaik mungkin.

Sebarang bentuk perbuatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah ‘kebinasaan’.

Ramai yang tidak menghargai nikmat kesihatan ini. Buktinya ramai yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, arak serta lumba haram yang akhirnya membawa kesengsaraan.

Ingatlah hidup tidak terhenti di sini saja kerana akhirat kelak kita akan ditanya bagaimana kesihatan digunakan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.

Jika dikurniakan badan yang sihat, jangan digunakan untuk tujuan membunuh, merompak, memeras ugut atau meragut. Amat tidak elok jika kita boleh bermain bola sehingga berjam-jam tetapi meninggalkan solat yang hanya untuk beberapa ketika saja.

Sanggup berjaga malam untuk berkaraoke sampai pagi sehingga solat Subuh dua rakaat ditinggalkan terus. Ingatlah, di akhirat nanti kita akan ditanya.

Kekayaan juga tidak kekal selama-lamanya. Ia boleh bertambah dan hilang sekelip mata. Justeru, kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.

Harta boleh dicari sebanyak mungkin tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilaknat dan diazab. Usah menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.

Kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta, kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang dan dengan harta juga boleh ke syurga atau ke neraka.

Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dilepaskan adalah masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal, tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”

Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan mereka lakukan.

Oleh: Ustaz Zawawi Yusoh

epondok.wordpress.com

Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Catatan Musafir Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template