"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama" Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi

Sunday, October 31, 2010

Berdosa Salah Guna Facebook



KEGILAAN SATU DUNIA…facebook yang dilancar pada Februari 2004 mempunyai sejumlah 500 juta pengguna aktif setakat Julai lalu.

SELEPAS sekian lama meninggalkan bangku persekolahan, memang tidak menyangka bertemu semula kenalan lama selepas berbelas tahun terpisah.Inilah manfaat laman sosial yang kini menjadi kegilaan masyarakat terutama golongan muda.

Facebook mendapat sambutan sehingga syarikat pengeluar telefon bimbit mengeluarkan telefon yang mempunyai aplikasi lebih mudah untuk mengemas kini profil pada bila-bila masa. Malah, ada yang bertemu jodoh selepas ‘bersembang’ di alam maya Facebook. Begitulah berpengaruh laman sosial ini kepada masyarakat teknologi maklumat hari ini.

Namun, kebaikan dan manfaat Facebook kini disalah guna sesetengah pihak untuk melakukan segala macam perbuatan negatif.Ada yang mendedahkan aurat, maki hamun, fitnah serta mendedahkan keaiban suami isteri.

Paling ditakuti apabila ada pihak mengambil kesempatan membuat akaun peribadi orang lain lalu menyebarkan gambar atau maklumat palsu.

Ada pula yang menggunakan kemudahan Facebook untuk mempersendakan agama serta membuat kenyataan bersifat perkauman yang boleh menggugat keharmonian. Ini bertentangan dengan etika dan amalan agama. Tiada halangan kepada pemilik akaun Facebook meluahkan perasaan, cuma berhati-hati dan jangan keterlaluan.

Kisah dan perihal rumah tangga contohnya, tidak boleh diceritakan secara terbuka.

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam Ghazali menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah. Jika mendengar cerita kurang baik, pastikan sumber itu sahih, bukan fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujuraat, ayat 6)

Kita tidak boleh menghina antara satu lain kerana belum pasti golongan yang kita hina itu lebih mulia daripada kita.

Amalan mencaci, memaki hamun, memalukan orang lain sesuka hati dan memanggil mereka dengan gelaran yang tidak baik adalah berdosa.

Kesan fitnah boleh mencetus pergaduhan besar, malah membawa kepada pembunuhan dan kerugian harta benda.

Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah ayat 191)

Cukup mudah dan pantas penyebaran fitnah di zaman teknologi moden ini. Selain facebook, kemudahan lain yang boleh didapati sebagai saluran komunikasi ialah web, blog, serta e-mel.

Fitnah tidak lain hanya untuk memburukkan dan menjatuhkan seseorang.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengenai berita benar atau palsu yang disebarkan tanpa kebenaran, Rasulullah bersabda bermaksud: “Adakah kamu mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu Baginda meneruskan sabdanya: “Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.” Lalu ditanya oleh seorang sahabat: “Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?” Rasulullah bersabda: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Larangan mencari kesalahan amat ditegah. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan (terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang dan jangan pula sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa dia memakan daging saudara nya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat ayat 12)

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan secara halal.

“Kemudahan yang ada hendaklah digunakan bagi tujuan kebaikan dan bermanfaat.“Ini penting bagi mengelak sebarang fitnah sama ada terhadap orang lain atau diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata jalinan silaturahim yang dikembangkan melalui kecanggihan teknologi komunikasi berkenaan hendak lah dimanfaatkan sebaiknya.

“Kemudahan berkomunikasi melalui laman sosial ini memudahkan interaksi. Cuma jangan dimanipulasi bagi tujuan jahat atau melalaikan.

“Elak bersembang perkara sia-sia, membangkitkan nafsu syahwat serta mengadu domba. Malah, jangan menggunakan ‘kebebasan’ diberikan untuk menyamar sebagai individu lain bagi menjatuhkan seseorang,” katanya.

Zamihan berkata bagi golo ngan yang mempersendakan agama mereka adalah golongan pencetus yang akan dipertang gungjawabkan atas isu yang mereka cipta.

“Penjenayah siber ini menimbulkan huru-hara, tetapi kekeliruan terhadap pegangan agamanya, malah ada yang ‘menarik’ pengikut untuk menyokong usaha dan idea dangkal mereka.

‘Saham’ dosa bukan saja diterima individu terbabit, malah bagi yang turut serta secara langsung dengan meletakkan komen juga turut sama mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata menjadi satu kesalahan besar dan haram hukumnya bagi mereka yang menggunakan maklumat serta gambar peribadi orang lain tanpa persetujuan.

“Tambahan lagi, jika ia digunakan untuk matlamat yang salah, pasti mewujudkan perselisihan faham, cabar mencabar dan perbalahan besar.

“Akibatnya, orang sekeliling memberi gambaran tidak baik serta hilang kepercayaan terhadap seseorang yang di fitnah. Dosa mereka tidak akan diampunkan Allah sehingga orang yang teraniaya itu mengampunkan dosa mereka,” katanya.

Beliau berkata laman sosial seperti facebook atau apa saja ruangan yang boleh diakses perlu diselidiki asas kebenarannya.

“Dalam mencari sumber yang benar, pastikan kita merujuk kepada golongan ketiga iaitu mereka yang ahli atau pakar mengenainya,” katanya.

Oleh : Mohd Fadly Samsudin

Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Catatan Musafir Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template